BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

BAGAIMANA MENJADI UMAT YANG TERBAIK


Sebenarnya kita merupakan umat pilihan disisi Allah swt. Malah boleh kita katakan kita merupakan umat yang terbaik berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Imran, ayat 110 bermaksud “Kamu merupakan umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia. Kamu menyeru kepada maaruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah“.

Mengikut Imam Qatadah, Khalifah Omar Al-Khattab pernah berkata berhubung ayat ini, sesiapa yang suka digolongkan dalam golongan umat yang terbaik ini, tunaikanlah syarat Allah yang terdapat dalam ayat ini.

Sahabat nabi berjaya menunaikan syarat-syarat ini. Syarat-syarat ini ialah :

 1 ) Mengajak kepada maaruf

 2 ) Mencegah kemungkaran

 3 ) Beriman dan melaksanakan tuntutan iman yang telah ditetapkan oleh Allah.


Perkara ini telah berjaya ditunaikan oleh para sahabat. Justeru mereka telah berjaya mencipta sejarah kegemilangan yang tidak ada tolok bandingannya. Jika kita pada hari ini juga mampu melaksanakan syarat-syarat yang 3 ini, insyaallah kita juga akan berjaya.

Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan. Dunia tidak pernah menemui golongan sehebat umat ini. Mengikut sebuah hadis bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, nabi bersabda yang bermaksud “ Kamu menggenabkan 70 umat yang diutus dan kamu merupakan golongan yang terbaik dan termulia dari kalangan mereka “.


Dunia terutamanya dunia barat sepatutnya berterima kasih kepada umat ini kerana tanpa sumbangan kita iaitu umat islam, dunia tidak akan mengecap kemajuan dan pembanggunan seperti yang dikecap pada hari ini. Hal ini pernah dinyatakan tanpa
segan silu oleh Carleton S ataupun Carly Fiorina, Pengerusi ataupun CEO Hewlett Packard Company. Ketika beliau menyampaikan ucapan yang bertajuk Technology Business And Our Way Of Life: What's next pada 26 September 2001 di Minneapolis Minnerota.

Beliau berkata  “Pada suatu ketika dahulu, ujud satu tamadun yang terbesar didunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan menjangkau kawasan utara tropika dan padang pasir. Dibawah kekuasaannya terdapat ratusan juta manusia dari perbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini iaitu bahasa arab. Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia dari perbagai latarbelakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingannya, Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin hingga ke negara China dan juga antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkah oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina banggunan tinggi yang melawan gravity. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep Algebra dan Algoritma dan konsep-konsep ini membantu pencitaan computer dan encryption pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan untuk merawat perbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya menoropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekaligus membuka jalan kepada penerokaan angkasa raya. Penulis-penulisnya telah menulis ribuan cerita “.

Akhirnya Carly Fiorina menutup ucapannya dengan berkata  “Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya ialah tamadun islam yang berkembang dari tahun 800 - 1600 masihi“.


Itulah kita tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan. Kita yang bernama umat islam. Umat terbaik yang dicipta oleh Allah swt. Umat yang dipuji oleh ramai tokoh di barat termasuk Carly Fiorina. Umat ini terbaik kerana mereka mementingkan ilmu, takwa dan amal.

Jadi, marilah sama-sama kita mementingkan ilmu, takwa dan amal. Kita ledakkan ketiga-tiga ini dalam diri, keluarga dan seluruh kehidupan kita dan insyaallah dengan itu kita akan menegakkan yang maaruf dan meruntuhkan kemungkaran dan melaksanakan tuntutan iman kepada Allah.
Semoga kita dapat melaksanakan agenda ini insyaallah.
 



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...