BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

BETULKAH EKONOMI MALAYSIA BERADA PADA LANDASAN TEPAT?


"Terdapat tanda-tanda akan berlakunya kemelesetan ekonomi berganda di negara-negara Eropah dan perkara ini secara tidak lansung akan mempengaruhi keadaan ekonomi negara..." Dr Mahathir Mohamad



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad  memberi amaran Malaysia kemungkinan berdepan dengan kemelesetan ekonomi berganda sekiranya keadaan ini berlaku di negara-negara Eropah.



Beliau yang  pulang dari lawatan ke England berkata, bahawa terdapat tanda-tanda akan berlakunya kemelesetan ekonomi berganda di negara-negara Eropah dan perkara ini secara tidak lansung akan mempengaruhi keadaan ekonomi negara.
"Saya baru balik (dari England). Di Eropah (kemelesetan ekonomi berganda) akan berlaku. Kalau jadi di sana, kita pun mungkin berjangkit jugalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak antara Iris Corporation Bhd. dan Koperasi Atlet Malaysia Bhd. di Kuala Lumpur semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pula mengatakan Malaysia dalam kedudukan untuk mencapai sasaran pertumbuhan enam peratus tahun ini seiring dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik di Asia .

Menurut beliau pertumbuhan di China, India, Vietnam dan Indonesia adalah baik dan semakin baik dan kita dalam kedudukan untuk mencapai sasaran pertumbuhan enam peratus," katanya selepas merasmikan Seminar Mengenai Peluang Pada 2010 dan Melangkauinya Bagi Pelabur dan Syarikat Asia MPH Power-Packed oleh Jim Rogers di Petalingjaya semalam.

Dr Mahathir mengulas kenyataan ramai ahli ekonomi dan penganalisis bahawa akan berlaku kemelesetan ekonomi global berganda pada separuh kedua tahun ini dan sama ada ekonomi Malaysia akan menerima nasib yang sama.

Walau pun pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai pelan ekonomi dan langkah-langkah yang progresif termasuk Model Baru Ekonomi (MBE), beliau berkata, adalah sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan kerana apa juga yang berlaku di luar negara, tempiasnya akan terkena juga pada Malaysia.

"Kerajaan telah melakukan pelbagai langkah tetapi kita tak boleh meramalkan (apa yang akan berlaku pada masa akan datang) kerana apa yang berlaku di luar turut mempengaruhi kita," katanya.

Sebaliknya Nor Mohamed mengulas Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 15 Oktober ini yakin pertumbuhan sebanyak 6 peratus itu dapat dicapai.

Pada masa ini, input sedang dikumpulkan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan.


Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Bajet 2011 akan menetapkan rentak transformasi Malaysia ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, ia akan dicapai melalui empat tonggak agenda transformasi negara, iaitu Konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10).
Dalam konteks kebimbangan mengenai prospek ekonomi Malaysia ini, pada 4 Julai lalu, Inter-Pacific Research Sdn. Bhd meramalkan prospek ekonomi negara akan terus goyah dalam enam bulan kedua tahun ini walaupun petunjuk makro dalam enam bulan pertama memberikan sedikit harapan.


"Kemungkinan bagi petunjuk ekonomi menjadi perlahan dalam enam bulan kedua tahun ini adalah tinggi, mungkin diruntun oleh gabungan isu-isu domestik dan luar negara," kata firma penyelidikan itu.

"Sekiranya momentum makro mula menurun dalam enam bulan kedua 2010, ia boleh menjadi unsur rintangan bagi pasaran Asia dalam tempoh ini, termasuk Malaysia," katanya dalam satu nota penyelidikan padavtarikh tersebut.
Dalam pasaran tempatan, kata Inter-Pacific, tumpuan adalah terhadap gabungan isu, dengan perhatian utama terhadap pelaksanaan dasar Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Baru Ekonomi.
Dasar-dasar berkaitan reformasi ekonomi dan usaha membentuk ekonomi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi merupakan langkah terpuji tetapi masalah kritikal ialah melaksanakannya, katanya.


Di peringkat global, risiko kemerosotan berganda pertumbuhan global semakin memuncak, ditambah dengan krisis hutang euro yang boleh menjadi isu menular, dan pertumbuhan yang lebih lembap daripada dijangkakan di China dan India mungkin mengakibatkan kurangnya perbelanjaan pengguna yang berterusan, kata Inter-Pacific.

Jika kita masih ingat, pada 24 Februari lalu, Najib sendiri mengakui pencapaian ekonomi Malaysia yang mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus bagi suku keempat tahun lepas merupakan di luar jangkaan. Katanya, ia hasil daripada permintaan dalam dan luar negara yang lebih kukuh,"katanya ketika mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku berkenaan di Putrajaya.

Namun demikian, Najib yang juga Menteri Kewangan mengakui, bagi tahun lalu ekonomi negara mencatatkan penguncupan sebanyak 1.7 peratus iaitu lebih rendah daripada penguncupan 3.0 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Ekonomi negara mencatatkan penguncupan tiga suku berturut-turut iaitu 6.2 peratus pada suku pertama, 3.9 peratus pada suku kedua dan 1.2 peratus pada suku ke tiga tahun lalu.

Semasa ditanya mengenai unjuran tahun ini, Najib berkata: "Kita yakin mengenainya."

Mengenai sama ada waktu sukar telah berlalu bagi ekonomi negara, beliau berkata ia telah berlalu sekiranya tiada perkara yang serius yang tidak dijangka berkait dengan ekonomi global timbul.

"Sebagai contoh, sekiranya tiada keruntuhan negara utama yang tidak dijangka kita boleh menyifatkan kita ini telah pulih daripada krisis dan kita sepatutnya melihat pertumbuhan yang lebih kukuh pada 2010."

Sama ada negara boleh mencapai pertumbuhan 5.0 peratus tahun ini, beliau menjawab: "Boleh."

"Unjuran awal ialah kira-kira 4.0 peratus untuk tahun ini. Saya harap, boleh mencapai satu atau dua peratus lebih dari itu."


Juga dijangka menjadi penyumbang ialah sektor awam yang terus memainkan peranan utama dalam merangsang pertumbuhan pada suku tersebut.

"(Kita) akan berusaha sepenuhnya bagi memastikan kita dapat memberi keyakinan dan pelaksanaan segera projek-projek dan menggalakkan sektor swasta untuk melabur dan dengan keyakinan pengguna yang lebih tinggi. Kita perlu menjadikan tahun ini baik dari segi prestasi ekonomi."

Bagi Najib, pelaksanaan kedua-dua pakej rangsangan kerajaan yang lebih pesat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.


Keyakinan Najib turut diletakkan pada peningkatan penggunaan swasta yang disokong oleh pasaran pekerja yang lebih baik, kadar inflasi yang rendah, serta perbelanjaan yang lebih tinggi semasa musim cuti persekolahan dan perayaan pada akhir tahun.

Dan dengan pertumbuhan penggunaan swasta yang berterusan dan peningkatan dalam perbelanjaan sektor awam, ia menyumbang kepada permintaan dalam negeri yang lebih tinggi yang mencatat kenaikan sebanyak tiga peratus pada suku keempat berbanding 0.4 peratus pada suku ketiga.

rujukan :http://www.epu.gov.my 
  

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...