BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

OGG ZAMAN RASULULLAH

TIDAK lama selepas Rasulullah s.a.w menyeru teman-teman se-Usrahnya (Sabiqul Awwalin) melaksanakan dakwah Islamiyyah secara terbuka, aktiviti dakwah Islamiyyah telah menggamit perhatian masyarakat musyrikin Makkah. (15:94, 26:214-215,15:89,111:1)

Mereka hairan, bagaimana seorang anak muda bergelar al-Amin ini boleh membina generasi tarbawi yang hebat – Sabiqul Awwalin?

Pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w terdiri oleh golongan hamba, orang miskin dan mustad’afin, golongan berniaga sampailah hartawan-bangsawan.

Namun, mereka ini ditarbiyyah – (1)Ilmu (kefahaman); (2)sifat (sabar dan ikhtiyar), dan (3)iltizam (dakwah Islamiyyah) hatta mereka sangat yakin dengan janji-janji Allah.

Begitulah yang dapat dilihat pada batang tubuh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.ahum; terutama menjelang musim Haji di Makkah.

Ini kerana walaupun pada zaman Jahillyah, Makkah masih menerima kunjungan pada pengunjung Haji sebagai meneruskan syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s (syariat ini telah terpesong secara akidah dan syariah).

Musim Haji tersebut sudah tentu dinanti-nantikan oleh Rasulullah s.a.w. untuk melancarkan OGG (maksud: dakwah Islamiyyah).

Kemasukan freshes (rujuk: pengunjung Haji) ke Makkah perlu didekati (didakwah) agar mereka ini kembali hidup dalam acuan agama Allah.

Melihat inisiatif Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.ahum tersebut, mendorong gangster-gangster Makkah melancarkan fitnah, kekerasan fizikal hatta ancaman ke atas batang tubuh Rasulullah s.a.w dan Sabiqul Awwalin yang sabar serta istiqamah mendukung dakwah Islamiyyah.

Al-Walid bin al-Mughirah telah mengumpulkan para pemimpin pro Asobiyyah (maksud: mempertahankan hak kaumnya/pihaknya walaupun terpaksa menzalimi pihak lain) yang anti perjuangan dakwah Islamiyyah oleh Rasulullah s.a.w untuk menyekat dominasi dakwah Islamiyyah.

[Rujuk Abdul Hadi Awang (Tn. Guru) (2001) (Cet.5), Fiqh Harakah dari Sirah Nabawiyyah (jil.1), hh. 116-117]

“Kamu hendaklah bersepakat, jangan bertelingkah dan jangan berlainan pendapat sehingga bercanggah sesama sendiri dalam memperkatakan tentang Muhammad,” aluan oleh al-Walid.

Salah seorang pemimpin pro Asobiyyah mulai bersuara, “Beritahulah kepada kami pendapat kamu terlebih dahulu.

Al-Walid berpandangan bahawa kepemimpinan yang hadir patut terlebih dahulu memberi pandangan supaya beliau dapat mendengar dan menimbang cadangan-cadangan tersebut.

“Kita katakan dia (Nabi Muhammad s.a.w) ini ahli nujum??!!”

Al-Walid bersuara, “Tidak munasabah. Demi Allah tidak sama sekali (masyarakat akan percaya). Kita semua (sebelum ini) pernah lihat ahli nujum. Dia bukannya bermentera atau bersajak seperti ahli nujum.”

“Kita katakan (fitnah) dia orang gila??!!” pemimpin lain pula mengutarakan pendangan.

Al-Walid sekali lagi berhujah, “Tidak! Dia bukannya orang gila; kerana kita mengenali sifat orang gila sedangkan dia tidak meracau dan meronta-ronta seperti orang gila.”

“Bagaimana pula jika kita menuduhnya sebagai penyair??!!”

Al-Walid sekali lagi menyatakan pertimbangannya, “Tidak! Kerana dia bukannya penyair kerana kita semua (telahpun) ketahui bagaimana ucapan penyair-penyair. Bagaimanakah tuduhan ini boleh berkesan menghalang perjuangannya. Jelas dia (pasti tidak dianggap) bukan penyair!”

“Kita katakan dia ini ahli sihir!!??”

“Tidak! dia bukan ahli sihir kerana kita semua pernah melihat ahli sihir dan sihiran mereka, tiupan, dan simpulan telah dilakukan oleh mereka; sedangkan Muhammad tidak (pernah) melakukan (perbuatan) sedemikian,” rasional al-Walid.

Al-Walid mulai mengerut dahi dan matanya tajam merenung lalu bersuara.

“Sesungguhnya demi Allah, kata-katanya sungguh indah dan menarik. Segala tuduhan yang kamu sebut itu tidak tepat, tetapi pendapat yang paling tepat (boleh diterima) ialah kita katakan dia itu ahli sihir; kerana kesan ucapannya seperti sihir; Kerana ajarannya memecah-belah anak dan ayah, suadara-mara, suami-isteri (hatta) seseorang dengan keluarganya (masyarakat).

Semua pemimpin bersetuju dan bersurai. Mereka sedia melakukan apa sahaja – propaganda, ancam, bertindak kasar dll demi menghalang OGG (dakwah Islamiyyah) Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a.hum yang mendukung perjuangannya.

Ketika Rasulullah dan para Sahabat r.ahum mendekati freshes (pengunjung Haji), gangster Makkah menghalang dakwah Rasulullah s.a.w tanpa adab dan segan-silu. (74:11-16)

Abu Jahal laknatuLlah ‘alaih umpanya, tanpa segan silu mencemuh Rasulullah s.a.w.

“Jangan kamu mengikuti Dia (Nabi Muhammad s.a.w) kerana dia itu menyeleweng dari agama dan pembohong.”

Cuba cermati riwayat Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a sebagaimana di bawah:

…ketika Nabi Muhammad s.a.w bersolat di Kaabah, ‘Aqabah bin Abi Mu’it datang (lalu) mencekik Rasulullah s.a.w dengan bajunya (riwayat lain: dengan tali). Kemudian datang Abu Bakar (as-Siddiq) memegang pundaknya (‘Aqabah bin Abi Mu’it) sambil menolaknya daripada Rasulullah s.a.w dan (lalu) berkata berkata: mengapa Engkau hendak membunuh manusia yang mengaku dan mengucap ‘Tuhanku ialah Allah s.w.t’…”

Cuba cermati juga riwayat Abdullah bin ‘Umar r.a sebagaimana di bawah:

…Ketika Nabi (Muhammad s.a.w) sedang sujud bersolat di tengah-tengah puak Qurasy, datang ‘Aqabah bin Abi Mu’it membawa najis sembelihan (lalu) melempar ke atas belakag Rasulullah s.a.w; menyebabkan Rasulullah s.a.w tidak mengangkat kepalanya dari sujud sehingga datang Puterinya Fatimah r.a.ha membuang najis-najis tersebut sambil bertanya kepada Ali karramaLlahuwajhah: Siapakah yang melakukan sedemikian (kepada Rasululllah s.a.w)?”

OGG pada waktu tersebut bukan sahaja menyaksikan Rasulullah s.a.w sahaja yang dianugerahkan ujian hebat daripada Allah s.w.t yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, malah teman-teman seUrah (Sabiqul Awwalin) yang ditarbiyyah oleh Rasulullah s.a.w juga berdepan pelbagai fitnah, layanan kasar hatta ancaman.

Cuba cermati Hadith Bukhari yang diriwayatkan oleh Khabab bin Al-‘Arat r.a sebagaimana di bawah:

Aku datang menemui Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w sedang meletakkan kepalanya berbaring berbantalkan pakaiannya di bawah lindungan Ka’bah. Pada waktu itu, kami sedang mengalami penyiksaan yang sangat hebat. Lantas aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah, mengapa tidak Tuan berdoa kepada Allah untuk kita semua? Baginda Rasulullah s.a.w bangun dan duduk dengan muka yang merah lalu berkata: Sesungguhnya mereka yang terdahulu daripada kamu pernah diganyang dengan penyakar-penyakar besi hingga ke tulang dan urat sadar, tetapi sebutir bijirin pun mereka tidak berganjak dan ada pula dalam kalangan mereka dibelah kepala dengan gergaji namun demikian mereka tetap juga tidak berganjak dari pendirian mereka. Biarlah Tuhan sempurna perkara ini (agama Islam) sehingga manusia berjalan dari San’a’ ke Hadratulmaut tidak akan gentar dan takut sesuatu pun kecuali Allah s.w.t…”

Lihat Tarbiyyah Rasulullah ke atas para Sahabat r.a.hum melalui OGG pada musim Haji tersebut. Lihat hasil (1)kefahaman yang sejahtera telah membentu (2)sifat berani berdepan dalam melaksanakan dakwah hatta menyebarakkan (3)sifat iltizam dan keyakinan dengan pertolongan dan janji-janji Allah.

SubhanaLlah! OGG tahun ke-11 Nubuwwah menyaksikan 6 orang Khazraj telah menerima dakwah Islamiyyah dan tarbiyyah daripada Rasulullah s.a.w. Mereka yang mulia itu adalah:

(1)As’ad bin Zurarah;

(2)’Auf bin Harith bin Rifa’ah bin ‘Afra’;

(3)Rafi’ bin Malik bin ‘Ajlan;

(4)Qhutbah bin ‘Amir bin Hudhaibah;

(5)’Uqbah bin ‘Amir bin Nabi; dan

(6)Jabir bin Abdullah bin Ri’ab

SubhanaLlah! OGG tahun ke-12 Nubuwwah menyaksikan sesuatu yang lebih penting iaitu berlangsungnya Bai’ah al-‘Aqabah al-Uula. Seramai 12 orang telah bersedia untuk ditarbiyyah dan sanggup menjalankan dakwah Islamiyyah bersama-sama Rasulullah s.a.w. Mereka yang mulia itu adalah:

(1)Mu’adz bin al-Harith;

(2)Zakuan bin Abdul Qis;

(3)’Ubadah bin as-Samit;

(4)Yazid bin Tha’labah;

(5)al-Abbas bin ‘Ubadah Nadlah;

(6)Abu al-Haitham bin al-Taihan (Aus); dan

(7)’Uwaim bin Sa’idah (Aus).

Kecuali Jabir bin Abdullah bin Ri’ab, kesemua mereka yang pernah menemui Rasulullah s.a.w dalam OGG tahun ke-11 Nubuwwah.

Rasulullah s.a.w sendiri telah mengutuskan Naqib al-Nuqaba’, Mus’ab bin ‘Umair telah diutuskan pulang ke Yatrib bersama-sama 12 freshes (maksud: Sabiqul Awwalin) tersebut untuk melaksanakan usrah dan tarbiyyah di bumi bertuah Yatrib.

SubhanaLlah! OGG tahun ke-13 Nubuwwah menyaksikan Bai’ah al-Aqabah ath-Thani. Kali ini, angka tersebut bertambah ramai.

Malah Rasulullah s.a.w sendiri telah melantik 12 orang dalam kalangan para Sahabat r.ahum yang datang dan bertemu Rasulullah s.a.w tahun tersebut. Mereka yang dilantik sebagai Naqib Usrah adalah:

[Dalam kalangan Khazraj]

(1)Sa’ad bin Rabi’

(2)’Abdullah bin Rawahah

(3)Rafi’ bin Malik bin al-‘Ajlan

(4)As’ad bin Zirarah bin ‘Adas

(5)al-Barra’ bin Ma’rur bin Sakhr

(6)’Abdullah bin ‘Amru bin Haram

(7)’Ubadah bin al-Samit bin Qais

(8)Sa’ad bin ‘Ubadah bin Dalim

(9)al-Munzir bin ‘Amru bin Khanis

[Dalam kalangan Aus]

(10)Usaid bin Hudair bin Simak

(11)Sa’ad bin Khaithamah bin al-Harith

(12)Rifa’ah bin Abdul-Munzir bin Zubir

OGG akhirnya membawa pada ketumbukan dakwah Islamiyyah yang lebih hebat di kemudian hari sehingga terdirinya Madinah al-Munawwarah yang sejahtera dan menjunjung pengabdian kepada Allah s.w.t.

Tidak perlulah kita berkecil hati andai kita dicela, dihina, dicerca dan difitnah kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.ahum juga telah menerima sedemikian rupa.

Banner-banner dakwah Islamiyyah kita baru dicuri dan dimusnahkan; sedangkan batang tubuh Rasulullah s.a.w telah dikasari hatta dilukai.

Kepemimpinan kita baru dicemuh dan difitnah oleh bloggers tertentu dalam OGG kampus; sedangkan Rasulullah s.a.w setiap detik diburu dan diancam kerana mengatakan Rabbuna RabbunaLlah [maksud: Tuhan kami (adalah) Allah].

Marilah kita berdoa dan bertawakal kepada Allah setalah kita bertungkus-lumus merencana dan melancarkan dakwah ilaLLah di kampus. Sesungguhnya, jalan kita ini sepatutnya digerakkan atas pendidikan kefahaman (maksud: Usrah dan tarbiyyah), bukan lantunan perasaan dan darah ‘muda’ mahasiswa semata-mata.

Ayuh GMI, jadikan OGG kali ini pemangkin dakwah Islamiyyah di kampus selepas ini.

Biar spirit OGG kali ini tidak terhenti setakat menjemput freshes dan senior sesi kemasukan kali ini sahaja, tetapi terus subur dan berdenyut dalam pembuluh darah setiap aktivis GMI.

Selamat merencana dan melaksanakan dakwah Islamiyyah di kampus dan dalam lapangan ummah. Allah s.w.t akan memuliakan hamba-hambanya selagi mana hamba-hambanya terus meneladani perjuangan hidup kekasih-Nya (Nabi Muhammad s.a.w). Pendidikan Asas Perubahan! -END

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...