BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

PRODUCING THE BEST LEADERSHIP

Terdapat satu fakta yang tidak dapat ditolak oleh sesiapa, iaitu Islam bukanlah perbuatan atau ciptaan manusia. Islam adalah dari Allah. Di antara sifat-sifat Allah ialah kebaikan serta kesempurnaan yang mutlak. Apabila Allah Ta’ala mengurniakan manusia sesuatu pemikiran kebaikan, maka Allah pastinya akan mengurniakannya secara Yang Maha Mulia, Maha Alim, Maha Berkhidmat dan Maha Berkuasa. Ini kerana Allah Ta’alalah Yang Maha Mencipta Seluruh Penghidupan termasuk manusia. Disebabkan ini apabila Allah menetapkan sesuatu undang-undang atau peraturan, pastinya lengkap dan tidak ada sesiapa yang boleh mengkritik atau menyelidik kembali, firman Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 15-16

قد جاء كم من الله نور و كتب مبين يهدى به اتبع رضوانه سبل السلم ويخرجهم من الظامت الى النور باذنه ويهديهم الى صراط مستقيم
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang dengan izin-Nya: dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”.

KEPIMPINAN MENURUT ISLAM

Pengiktirafan Allah kepada kepimpinan manusia merupakan satu bentuk amanah. Maka kepercayaan untuk menguruskan alam ini perlulah difahami dan dilaksanakan sepenuhnya oleh insan muslim itu sendiri. Ini ditekankan oleh Sabda Rasulullah (s.a.w).

(( اذا خرج ثلاثة فى سفر فليأ مروا أحدهم ))
( رواه مسلم )
Maksudnya: “ Apabila tiga orang dari kamu keluar bermusafir, mesti melantik salah seorang dari kamu supaya menjadi pemimpin”.

Firman Allah :
Maksudnya : “ Sesungguhnya Aku (Allah) melantik manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.
(al Baqarah : 30)

Khalifah ini dihuraikan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka yang masyhur. Antaranya Ibnu Khaldun di dalam Al-Muqaddimah menyebut khilafah itu ialah “menggalang ganti kenabian (yakni selepas tidak ada lagi nabi) untuk memelihara agama (yakni Islam yang dibawa oleh semua nabi-nabi) dan mentadbir urusan dunia dengan agama”. Al-Mawardi dan Abul Ahkam Al-Farraq menyebut di dalam kitab mereka iaitu Al-Ahkam Al-Sulthoniah khilafah ialah “menegakkan agama dan mentadbir dunia”. Yang dimaksudkan menegakkan agama ialah agama Islam. Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah, kerana semua alam adalah ciptaan Allah S.W.T.

Dalam sembahyang ada kita menyebut, ”Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam”. Alam di sini ialah makhluk yang terdiri daripada malaikat, burung-burung, tumbuh-tumbuhan bulan bintang dan sudah tentunya manusia juga tergolong dalam pengertian ini. Maka manusia mestilah menyerah diri kepada Allah, itulah Islam. Sebagai orang yang beriman wajib tunduk kepada segala hukum-hukum Allah, disebut di dalam Surah Al-Ahzab;

“Tidak harus bagi seseorang lelaki yang beriman dan seseorang perempuan yang beriman apabila Allah dan Rasulnya membuat suatu keputusan lalu dia mengambil keputusan yang lain”

Bagi melaksanakan urusan dunia dengan akal hanya perlu apabila ia tiada nas daripada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. barulah dibenarkankan.

KEPENTINGAN DAN MATLAMAT

Kepentingan dan matlamat kepimpinan dalam Islam tidak dapat lari daripada matlamat dan tujuan penciptaan manusia iaitu sepertimana terdapat dalam Al-Quran ialah bertujuan untuk beribadat kepada Allah dan menjadi khalifah di dunia. Maka bagi memenuhi tujuan tersebut dapatlah kita ketahui kepentingan dan matlamat kepimpinan iaitu;

1) memakmurkan dunia dengan perlaksanaan syariat
Pengiktirafan manusia sebagai khalifah disertakan “peruntukan-peruntukan kuasa” yang tertentu menjadikan tugas pemimpin untuk melaksanakan syariat merupakan satu tuntutan yang pasti. Pemimpin wajib melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, kerana dengan cara ini sahaja kemakmuran akan dapat dikecapi. Pemimpin mestilah yakin untuk mengaplikasi saranan-saranan Islam kerana ianya dijamin oleh Allah sebagaimana firmannya :

Maksudnya : Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam
(al Imran : 19)
2) menyambung tugas rasul
Ketetapan bahawa Rasulullah merupakan utusan terakhir menegaskan tiada lagi pemimpin umat bertaraf rasul yag akan dibangkitkan hinggalah kebangkitan semula Nabi Isa, sedangkan tugas menegakkan syariat Allah merupakan kewajipan sepanjang zaman. Oleh itu, perlulah wujud pemimpin di kalangan manusia itu sendiri untuk mengambil peranan baginda. Pemimpin yang dimaksudkan adalah pemimpin yang benar-benar berkelayakan dan bertaraf ulamak. Diiktiraf dan dia sendiri menerima wala’ daripada orang di bawah pimpinannya.

3) bukti kepatuhan kepada Allah
Setelah berjaya merealisasikan kedua-dua matlamat utama di atas secara tidak lansung terbuktilah kepatuhan insan muslim kepada Allah, yang dipelopori oleh pemimpin-pemimpin yang berteraskan tauhid yang kukuh dan amalan yang benar. Masyarakat akan dibimbing supaya sentiasa taat kepada Allah dalam amalan seharian mereka dan mereka senantiasa diingatkan oleh pemimpin mereka agar sentiasa berlumba-lumba mencari keredhaan Allah.

4) kemaslahatan ummah
Kepimpinan yang wujud bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak semua pihak terpelihara. Apabila keadaan ini dapat direalisasikan maka nasib ummat akan terbela dan maslahah akan terjaga. Ini adalah berdasarkan konsep keadilan di dalam Islam yang menuju ke arah keamanan sejagat dan kesejahteraan bersama.

KEPIMPINAN MENURUT IMAM AL-GHAZALI

Dr. Klod George (1968) dalam bukunya “Tarikh al-Fikri al-Idari” (Sejarah Pemikiran Pentadbriran) memuji al-Ghazali beserta kitabnya dan menyifatkan kandungannya sebagai panduan serta nasihat kepimpinan pengurusan dan pentadbiran yang penuh hikmah (sage managarial advice), usul-usul keadilan serta keinsafan yang sepuluh berasaskan keimanan dan bercabang darinya. Di antara kandungannya ialah:

“Ketahuilah wahai Sultan (pemerintah/pentadbir) bahawa segala apa yang dalam hati manusia dari makrifat atau kepercayaan merupakan asal iman. Dan apa yang dilakukan oleh anggota-anggotanya (yang tujuh) dari ketaatan serta keadilan, merupakan cabang iman. Jadi jika cabang itu layu (tidak cergas) boleh menunjukkan kelemahan harapan, ia sesungguhnya tidak akan kekal apabila tiba waktu kematian, usaha dan amalan badan melambangkan keimanan hati. Perbuatan atau kelakuan dan menunaikan fardhu-fardhu terbahagi kepada dua bahagian: Pertama: menunaikan haji, zakat, menjauhkan dari meminum arak atau melakukan perkara haram, yakni perkara-perkara di antara kamu dan Allah. Yang kedua pula ialah perkara-perkara di antara kamu dan manusia iaitu keadilan di antara rakyat dan memberhentikan kezaliman.

“Asas utama untuk melaksanakan perkara ini ialah mengerjakan segala perintah Allah serta menjauhkan segala larangan-Nya. Di samping melakukan apa yang patut berlaku jika terdapat pemerintah yang lain dan kamu sebagai rakyat di bawahnya (lakukan segala apa yang diredhai oleh rakyat). Dan ketahuilah bahawa segala apa yang di antara kamu dan Allah, sesungguhnya kemaafan –Nya amat dekat. Tetapi segala apa yang ada di antara kamu dan manusia tidak ada kepastian mendapat kemaafan. Jadi ia merupakan bahaya yang serius pada hari kiamat kelak. Tidak ada mana-mana raja yang boleh selamat kecuali raja yang adil dan insaf serta mengetahui bagaimana mendapat kemaafan pada hari kiamat kelak”.

Inilah asas akidah bagi kaedah-kaedah serta keinsafan menurut al-Ghazali.

KESIMPULAN

Kepimpinan dalam Islam adalah kepimpinan yang beriman dengan matlamat dan berpegang teguh dengannya, boleh memuaskan hati para pengikut secara contoh teladan dari pihak pemimpin yang berjuang serta berazam untuk mencapai matlamat kumpulan. Contoh yang paling mulia ialah Rasulullah SAW, tanpa mengeluh atau mengundur. Dan juga perjuangan Abu Bakar as-Siddiq r.a bagi menyebarkan dakwah Islamiyah dan memerangi orang yang kembali kufur selepas kematian Rasulullah SAW (para Murtaddin). Maka apakah perlu kita berasa bongkak dengan mengatakan kita tidak perlu kepada Allah kerana kita mampu lakukan segalanya. Ketahuilah! Ketetapan daripada Allah inilah yang perlu kita patuhi kerana manusia hanya mampu lakukan sesuatu jika dikurniakan oleh Allah sahaja. Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 85:
وما اوتيتم من العلم الا قليلا
Maksudnya: “ Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...