BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

BETULKAH EKONOMI MALAYSIA BERADA PADA LANDASAN TEPAT?


"Terdapat tanda-tanda akan berlakunya kemelesetan ekonomi berganda di negara-negara Eropah dan perkara ini secara tidak lansung akan mempengaruhi keadaan ekonomi negara..." Dr Mahathir Mohamad



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad  memberi amaran Malaysia kemungkinan berdepan dengan kemelesetan ekonomi berganda sekiranya keadaan ini berlaku di negara-negara Eropah.

ALQIADAH : TAKLIF LAA TASYRIF



Assalamualaikum , salam perjuangan buat semua. Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam di seluruh pelusuk tanah air

Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan ( tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ).

Jenayah Akademik Aktivis Dakwah


“Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus. Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil. DULU-DULU Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang [...]

Siasah Dakwah

Seringkali dakwah dikaitkan dengan masjid dan seringkali tugas utama ini disempitkan fokusnya Ini sebenarnya menyalahi sunnah perjuangan rasul dan kaedah  Al Ikhwanul muslimin. Pernah Rasulullah mengambil bangkai anak kambing yang cacat telinganya dan menawarkan kepada sahabat dengan harga 1 dirham. Dan apabila sahabat enggan membeli kambing itu di pasar maka Rasulullah menyatakan bahawa sehina-hina anak kambing ini, hina lagi dunia disisi Allah. Lihatlah kehebatan uslub dakwah nabi yang mana tidak memilih tempat dan bahan untuk berdakwah tetapi mampu menitiskan air mata para sahabat. Kerana itulah ana berhasrat tinggi memimpin saudara yang ana kasihi dalam Tariquddakwah yang syumul dan tidak melampaui batas tertentu.

AMAL ISLAMI



بســم الله الرحمن الرحيم - العمل الإسلامي
AMAL ISLAMI

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Intipati Bajet 2011

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak sedang membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

Bajet 2011 bertema "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" dengan empat strategi utama.

Jumlah bajet - RM212 bilion, 2.8 preratus lebih tinggi daripada Bajet 2010

Perbelanjaan kos operasi
- RM162.8 bilion

Perbelanjaan kos pembangunan
- RM49.2 bilion
Berikut petikan penting ucapannya:
  • Rizab negara RM310.8b = 8.5 bulan import tertangguh
  • Negara telah pulih dari kemelesetan ekonomi dunia dgn pertumbuhan KDNK 9.5% separuh pertama 2010
  • Defisit dijangka rendah pada 5.4 peratus pada 2011
  • Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat 18.7 peratus kepada RM1.173 trilion tahun ini berbanding RM988.2 bilion tahun lalu
  • Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat 18.7 peratus kepada RM1.173 trilion tahun ini berbanding RM988.2 bilion tahun lalu
  • Sektor perkhidmatan diunjur berkembang 5.3 peratus tahun hadapan dengan pelaksanaan program dan inisiatif di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan perkhidmatan.
Warisan Merdeka - Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020
  • Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh.
  • Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.
  • Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.
  • Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.
  • Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini boleh melabur sehingga 20 peratus daripada jumlah aset yang diurus berbanding tujuh peratus sebelum ini.
  • Suruhanjaya sekuriti (SC) akan menawarkan tiga lesen broker saham baharu kepada syarikat tempatan, asing dan usaha sama yang layak untuk meningkatkan penyertaan pasaran runcit.
  • Duti import kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan di antara 3 dan 5 peratus dimansuhkan bagi menjadikan Malaysia syurga beli belah
  • Dana Pencen Swasta (PPF) tahun depan untuk memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri
  • Program Adunan Biobahan Api dengan Petroleum Diesel (Program B5) secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka
  • Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.
  • RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.
  • RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatkan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.
  • Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.
  • RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.
  • Gaji pokok minimum pengawal keselamatan dinaikkan kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan mulai Januari 2011
  • Penjawat awam wanita diberi pilihan tentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari.
  • Skim Rumah Pertamaku bantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah
  • Kerajaan akan menaikkan kadar cukai perkhidmatan daripada 5 peratus kepada 6 peratus
  • Elaun untuk JKKK, JKKKP dinaikkan kepada RM800 sebulan
  • RM6.9 bilion pula diperuntuk untuk bina infrastruktur seperti membina jalan luar bandar dan untuk membina jalan luar bandar
  • RM2.1 bilion diperuntuk untuk bina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak, selain RM696 juta bagi tujuan sama di Semenanjung Malaysia
  • Sistem Penilaian Takap Kecekapan (PTK) dimansuh dan diganti dengan sistem penilaian lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam
  • Satu projek besar dirancang melibatkan pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia seluas 2,680 ekar di Sungai Buloh
  • Sistem pengangkutan MRT untuk Greater KL akan dilaksanakan bermula 2011 bertujuan meningkatkan penggunakan pengangkutan awam hingga 40 peratus
  • RM100 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program termasuk menyelesaikan isu berkaitan hak tanah Orang Asli dan sempadan penempatan
  • Imbuhan guru KAFA dinaikkan daripada RM500 kepada RM800. Elaun bagi imam pula dinaikkan daripada RM450 dan RM750
  • Elaun pengerusi JKKK, JKKP, Tok Batin dan Pengerusi JKKK Orang Asli kpd RM800.
sumber : malaysiakini

E-Undi dari Perspektif Islam (1) continue....



saya sengaja hendak mengembalikan  balik kefahaman saudara saudari tentang alam kampus sekarang yang semakin mengabaikan soal kepentingan  politik kepada agama islam . Allah s.w.t mewajibkan setiap daripada kelompok manusia itu dipilihnya pemimpin yang boleh memandu masyarakatnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Pemimpin akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan terhadap rakyat di bawahnya. Ini ditegaskan dalam hadith Nabi s.a.w:

“Apabila keluar tiga orang diantara kamu, maka (hendaklah) dipilihnya dikalangan mereka seorang pemimpin (ketua).”
Dalam kewajipan itu, aspek pemilihan kepimpinan dan kriterianya sangat perlu diambil kira dengan penuh teliti. Para ulama menegaskan dalam konsep usul fiqh:

“Apa yang tidak sempurna sesuatu kewajipan itu, melainkan dengan melakukan sesuatu perkara itu, maka perkara itu turut menjadi wajib”

Justeru itu, pemimpin itu wajib dipilih, dan apa sahaja usaha ke arah memilih kepimpinan turut menjadi satu kewajipan. Dalam pada ini, jika di kampus dan universiti, medan Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah landasan yang terbaik memilih kepimpinan.
Pemimpin? – caranya apa?
Islam tidak menghalang apa jua yang baik, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip dan peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, medan pilihan raya adalah satu medan penting dan sesuai memilih dan menilai siapakah pemimpin yang baik untuk dipilih.
Konsep jarh wa ta’dil (kritik dan analisis) kepada batang tubuh pemimpin digalakkan dalam Islam. Supaya pemimpin ini boleh bekerja dengan baik dan amanah tatkala ia diberikan jawatan oleh rakyat yang memilihnya.
Rakyat ada hak untuk mengetahui siapakah yang bakal memimpinnya. Dan orang yang dipilih juga mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja yang dirasakan mengikut pengamatan mereka adalah baik dan boleh bekerja untuk mereka. Dan hak ini diberi kebebasan oleh Islam malah juga dalam perlembagaan Malaysia.
Sistem E-Undi : Membunuh Hak Memilih Pemimpin
Apakah maknanya satu sistem yang dikendalikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dan diragui integriti. Seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai satu badan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, mereka tidak boleh bertindak seperti menyokong satu pihak tertentu dan menyalahi pihak yang lain.
Begitu juga dengan hakim di mahkamah yang memutuskan sesuatu keputusan.
Apakah wajar satu sistem pilihan raya kampus atau lebih dikenali sebagai medium demokrasi kampus untuk para mahasiswa memilih kepimpinan ditentukan oleh hanya dua atau tiga orang yang memegang sistem tersebut?
Adakah adil seandainya orang lain yang menentukan pemimpin yang perlu kita ikuti? Adakah dinamakan demokrasi dan keadilan Islam sekiranya kita dipaksa untuk memilih satu-satu individu tertentu untuk menjadi orang yang akan memandu kehidupan kita kelak?
Jika begitu, bagaimanakah pula pemimpin yang lahir daripada sistem-sistem tersebut?
Keadilan, Ketelusan dan Kepimpinan
Soal pemimpin bukan persoalan main-main dan boleh disembangkan di kedai-kedai kopi. Betapa pentingnya kepimpinan ini boleh diambil pengajaran daripada peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w.
Sejurus Rasulullah s.a.w wafat, belum pun disemadikan jasadnya, para sahabat terus mengadakan pertemuan tergempar untuk membahaskan siapakah pemimpin yang bakal menggantikan Rasulullah sebagai khalifah kelak. Apakah para sahabat sudah tidak sempat-sempat memilih pemimpin sehinggakan tidak menghormati kematian Rasulullah?(Rujuk Kitab: Fiqh Sirah karangan Dr Said Ramadhan Al-Buthi)
Pandang ke hadapan, hadapan dan terus ke hadapan
Pandanglah kehadapan dan bagaimana generasi-generasi yang bakal lahir daripada penciptaan sistem-sistem yang tidak berlandaskan keadilan. Saya yakin ini bukan persepsi yang memutar kembali jam ke belakang, seolah tidak menerima kemajuan dan kemodenan kerana saya yakin Islam tidak sekali-kali menolak kemajuan dan malah sentiasa mendepaninya.
Malah penilaian ini juga bukan sahaja kepada yang melahirkan sistem ini, bahkan pengundi yang amanah dan sedar akan kepentingan memilih kepimpinan yang baik, turut bertanggungjawab mengubah sistem ini dengan kuasa yang ada di tangan mereka
Saya yakin dan percaya bahawa jika e-undi ini terus dilaksanakan kita akan terus kalah dalam gelanggang sendiri. Justeru kita perlu peka terhadap permainan musuh sendiri.Binalah strategi sekuat mana pun jika kita masuk dalam kandang musuh sendiri maka kita akan kalah dan jika kita yang mengawal permainan , walaupun dalam gelanggang musuh maka kita akan menang.
Pilihanraya kampus yang semakin menghampiri perlulah ada persedian yang rapi daripada jentera-jentera untuk kelancaran gerakan kita.jangan berlengah dan leka lagi.sekadar itu perkongsian bersama dengan cetusan sahabat kita dalam membantu kezaliman yang semakin berkuasa.ALL FOR UM

Kes Puaka UM : Mahasiswa Harap Keadilan


Pada 29  Jun 2009 yang lalu lima mahasiswa Universiti Malaya telah diheret ke mahkamah atas tuduhan menghina isteri perdana menteri Rosmah Mansur dengan contengan hasutan ketika dalam lawatannya ke Universiti perdana itu. Bermula dari tarikh berkenaan sehingga ke hari ini kita dapati kes ini masih belum selesai sehinggalah pada 24 september ini kita bakal menantikan keputusan dakwaan itu samaada wujud kes atau dibebaskan.

 
Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2)

1 JULAI 2009

OKT 1 dan 2 (Mohamad Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahrul Deen) dituduh ke mahkamah kali yang pertama dan mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dibaca di Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2) dan Mahkamah Majistret Jenayah 4 (MMJ4). Tarikh mula perbicaraan di MSJ2 ditetapkan pada 7 Disember 2009 bagi Seksyen 427,436/511 Kanun Keseksaan dan 447 manakala di MMJ4 bagi Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan pada 24 & 25 Jun 2010.

7 DISEMBER 2009

OKT 3, 4 dan 5 (Mohd Syazni Munir, Mohd Aizat & Muhd Saufi) dibacakan pertuduhan. Kesemua mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.Perbicaraan bagi OKT 1 dan 2 terpaksa ditangguhkan kerana pihak forensik masih belum menyediakan laporan kimia sepertimana yang dikehendaki.
Perbicaraan ditunda pada 15 Jun 2010.

15 Jun 2010

Saksi Pendakwaan (SP) pertama mengesahkan bahawa tiada sebarang bahan hidrokarbon meruap (petrol) dikesan dan tiada sebarang cap jari.

Mahkamah Majestret Jenayah 4 (MMJ4)

12 Julai 2010

Hakim MMJ4 memutuskan OKT 1 dibebaskan tanpa bela diri.

Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2)

28 Julai 2010

SP ke-17 iaitu pakar forensik multimedia mengesahkan laporan forensik terhadap simkad dan telefon bimbit OKT 1 dan 2 adalah negatif.

30 Julai 2010

SP ke-19 iaitu Pegawai Penyiasat kes, mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan saksi-saksi lain.

6 Ogos 2010

Kemenangan OKT 1 dalam perbicaraan di MMJ4 ditarik semula.Pihak pendakwaraya mengemukakan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi/Rayuan.

12 Ogos 2010

Rayuan diterima.

13 Ogos 2010

SP-19 (Pegawai Penyiasat) dipanggil memberi keterangan semula, beliau mengakui sepanjang penyiasatan wujud beberapa campurtangan dari Speacial Branch (SB) dan unit D7 ketika soal siasat dilakukan. Beliau juga mengakui beberapa arahan penangkapan OKT 3 dan 4 bukan dikeluarkan oleh beliau.

1 September 2010 (Sesi Penghujahan)

Barisan penguambela menyatakan pihak pendakwaraya gagal mewujudkan prima facie terhadap pertuduhan dan apa yang cuba dibuktikan hanya satu anggapan semata-mata tanpa ada sebarang bukti fizikal mahu pun laporan forensik yang menyokong andaian tersebut.

Hakim menetapkan 24 September ini sebagai tarikh menetapkan keputusan.

TUNTUTAN
Di peringkat mahasiswa, atas dasar menghormati perlembagaan dan undang-undang, kita mengharap agar mahkamah bersikap rasional dalam membuat keputusan, bebas dari sebarang unsur campurtangan dan tekanan politik. Badan kehakiman perlulah menjadi perunding yang baik kepada mahasiswa atau rakyat.
Mahasiswa amat menghormati  dan meletakkan penuh kepercayaan terhadap kehakiman Negara. Sepanjang pemerhatian daripada kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan Ustazah Norliza Ishak.

Kita yakin mahkamah cuba  mempamerkan kredibiliti serta kejujuran dalam membuat sesuatu keputusan.

PERTUDUHAN: 

1) Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum denda maksimum RM300
2)Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang membawa hukuman dua tahun penjara.
3)Seksyen 436/511 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api mengakibatkan maksimum 10 tahun penjara
4) Seksyen 447 iaitu kesalahan melakukan pencerobohan jenayah membawa hukuman 6 bulan penjara.

Cerpen - Takbir pada akhir Ramadan


WALAUPUN namanya Pak Imam, tugasnya bukan sekadar mengimamkan solat. Dia juga perlu memastikan, sebelum masuk waktu solat, sejadah sudah diatur rapi, mikrofon dan lampu berfungsi dengan baik, manakala jendela dan pintu dibuka.

Sesudah solat, sejadah perlu dilipat semula, mikrofon, lampu dan pintu ditutup manakala jendela dibiarkan terbuka. Itu belum lagi dengan kebersihan dan keceriaan surau, aktiviti harian, jadual menjadi bilal dan pemukul beduk, menyusun atur pembaca Qur'an sepuluh minit sebelum solat dan sebagainya.


Walaupun ada Tuk Siak dan ahli jawatankuasa surau yang lain, Pak Imam merasakan dia bertanggungjawab memastikan segala keperluan jemaah lengkap dan sempurna. Dia mahu surau ini menjadi tumpuan jemaah bukan sahaja kerana tazkirahnya, bacaan solatnya, nasihatnya, tegurannya malah keperluan surau itu.


Andai jemaah selesa solat disitu, maka mereka selesa untuk datang lagi dan mengkhabarkan berita yang baik untuk teman mereka, menyarankan agar teman mereka itu berjemaah disitu. Itulah hasrat Pak Imam. Alhamdulillah, hasratnya tercapai dan setiap kali menjadi imam, jemaah tidak kurang dari tiga saf hatta waktu subuh sekalipun.


Tetapi mereka semua mahu supaya Pak imam sendiri yang menjadi imam, bukan orang lain, kerana tazkirahnya, bacaan solatnya, nasihatnya dan tegurannya yang begitu mengesankan. Pak Imam menasihatkan mereka bahawa dia bukannya gilakan gelaran Imam atau elaun dari kerajaan, tetapi dia perlu melatih orang muda yang baik bacaan dan betul makhrajnya menjadi Imam. Biarlah ada dua tiga orang pelapis supaya mereka ini mendapat bimbingan sepenuhnya dari Pak Imam dan boleh menjadi Imam sebaik-baiknya.

Jemaah akur tetapi memohon supaya jika bukan Pak Imam sendiri menjadi imam, biarlah tazkirah selepas solat, dia sendiri yang menyampaikannya. Pada Pak Imam, itu bukannya halangan, tetapi seperti solat, tazkirah juga mempunyai jadualnya sendiri. Akhirnya mereka berkompromi. Maka dia berselangseli – andai bukan menyampaikan tazkirah, dia akan mengimamkan solat. Jemaah berpuas hati dan bersyukur.


Menurut Pak Imam, pada tahap usianya ini, dia perlu melatih seramai boleh pelapis dan mencadangkan nama mereka kepada Jabatan Agama untuk menjadi Imam muda. Bukannya dia sudah tak larat menjadi Imam, tetapi eloklah ada yang muda sebagai pelapis. Dia khuatir nanti dia dikuburkan bersama ilmu yang ada didadanya dan tidak sempat dimanfaatkan bersama. Na'uzubillai min zalik.


Apabila selesai urusan di surau, Pak Imam kembali kerumah, melihat apa-apa yan patut dikerjakan di kawasan rumahnya yang tidak sebesar mana. Mujurlah ada tempat untuk dia berbakti kepada tanah, maka tidaklah perlu dia membeli sepanjang masa dikedai. Adalah hasilnya untuk dimasak – cili, keledek, pisang, serai, ubi, kunyit, halia, dan beberapa jenis ulam-ulaman.


Pak Imam mempunyai empat orang anak, Alhamdulillah masing-masing sepasang lelaki dan perempuan. Sudah besar belaka semuanya. Yang sulung menjadi pensyarah di Kolej Islam. Yang kedua dan ketiga masih menuntut. Seorang di Mesir dan seorang lagi di Mahaad Tahfiz. Insya Allah yang bongsu akan menurut menjadi ahli tahfiz, dengan syarat SPMnya cemerlang. Yang sulung dan bongsu tinggal bersamanya.


Isteri Pak Imam yang dikahwininya sejak tiga puluh tahun yang lalu merupakan seorang yang taat dan patuh kepadanya. Tetapi pada bulan Ramadhan yang baru berlalu, isterinya mempunyai permintaan yang Pada Pak Imam sedikit pelik dan berbeza. Tak tahulah kenapa dengan dia, meminta agar Pak Imam sering berada di rumah untuk berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah di rumah. Pak Imam hairan. Dia masih ingat lagi kata-kata isterinya empat hari sebelum Ramadhan - cukup-cukuplah awak menjadi imam setiap solat. Janganlah bulan puasa ini, berbuka dan bersahur di surau, solat jemaah, berterawikh, bertadarus dan memberi tazkirah di surau.. Luangkanlah sedikit waktu untuk bersama keluarga. Kami juga ingin merasa berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan mendengar tazkirah dirumah. Berilah peluang kepada yang muda menjadi imam, jangan diharapkan kepada awak seorang sahaja. Sampai kesudah nanti, mereka tiada peluang untuk belajar.


Pada mulanya Pak Imam terasa satu tamparan lembut hinggap dipipinya. Sesudah tiga puluh tahun berumah tangga dan dua puluh empat tahun menjadi imam di surau kampung ini, inilah kali pertama isterinya bersuara menyatakan keinginan seperti itu. Sebelum ini dia tidak bersoal banyak apabila ditinggalkan berbuka bersama anak-anak.


Malah selalu juga datang ke surau berbuka bersama dua tiga orang perempuan kampung seusianya berbuka bersama-sama dengan sedekah dan pemberian si pemurah. Dia tidak banyak soal apabila diminta bersama anak-anak berbuka dan bersahur disurau, solat jemaah disurau, solat terawikh disurau, bertadarus di surau dan mendengar tazkirah disurau. Pada diri Pak Imam, surau ini sudah menjadi rumahnya dan isterinya juga perlu berfikiran begitu.


Pak Imam tak tahu kenapa Ramadhan yang lalu isterinya berubah laku. Terusik juga hatinya mendengar permintaan isterinya itu. Terasa juga dirinya serba kekurangan – apakah selama ini dia tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa yang sempurna? Lantas buat beberapa hari, Pak Imam berdoa dan bermunajat, memohon ampun dan maaf dari Allah atas mana-mana perbuatan dan tingkahlakunya yang dianggap isterinya sebagai mengabaikan tanggungjawab. Buat beberapa hari dia berfikir, apakah dengan tidak berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah dianggap sebagai mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa yang baik?


Pak Imam tidak mendapat jawapannya tetapi dia hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Biarlah Allah yang menentukan betul salahnya perbuatannya selama ini. Jika betul, dia mohon supaya Allah memanjangkan usianya untuk meneruskan kehidupan ini dengan sebaiknya, tetapi andai salah, dia berharap agar dosanya diampunkan Allah dan diberikan petunjuk untuk membetulkan segala-galanya.


Buat sehari dua, Pak Imam cuba menunaikan permintaan isterinya. Dia berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah. Pak Imam harap kali ini isterinya puas hati dan gembira permintaannya tercapai. Bukan tak pernah Pak Imam berbuka dirumah tetapi dia tidak melakukannya selengkap ini. Biasanya dia berbuka sahaja dirumah, yang lainnya di surau.


Tetapi isterinya rupa-rupanya belum puas. Dia bukan hanya mahu Pak Imam berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah untuk satu hari, tetapi sehingga ke penghujung Ramadhan. Kalau boleh biarlah bertakbir Aidilfitri juga dirumah.


Pada Pak Imam, itu sudah melampau. Tugas sebagai Pak Imam bukan sekadar imam di rumah, tetapi di ini imam kariah. Dia punya tanggungjawab di surau. Dia diberi amanah dan dia wajib melakukannya. Berdosa jika dia meninggalkan salah satu dari tuntutan tigasnya apatah lagi ia untuk kepentingan sendiri, kepentingan keluarganya sendiri.


Kali ini Pak Imam menggunakan diplomasi sepenuhnya. Dia tidak boleh berkompromi atas tugasnya kali ini. Mana boleh setiap hari dia berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah. Bilal sendiri sudah bertanyakan kehilangannya sejak dua hari yang lalu, inikan pula mahu diperpanjang sehingga akhir Ramadan.


Isterinya tetap enggan dan Pak Imam terpaksa beri kata dua dengan lembut. Airmata isterinya ternyata tidak mampu melembutkan hatinya. Pak Imam hanya mampu memujuknya dengan tazkirah dan petikan ayat al-Qqur'an dengan harapan hati isterinya itu lembut dan idak meminta lagi dia berbuat sedemikian rupa. Biarpun sedih, isterinya menerima sahaja.


Satu perkara yang menyebabkan Pak Imam pelik ialah isterinya menjadi begitu baik dan manja dalam melayannya kali ini. Bukannya isterinya itu tidak baik tetapi layanannya kali ini lain dari yang lain. Cukup bagus sekali, hinggakan Pak Imam merasa kekok. Pernah dia terfikir sama ada isterinya ini buang tabiat, tetapi cepat-cepat dipinggirkan fikirannya itu. Dia tahu isterinya cukup baik dan mahu masuk dari mana-mana pintu syurga, tetapi permintaannya kali ini sukar di mengertikan.


Sesudah dua hari, Pak Imam kembali semula ke surau. Para jemaah lega melihatkan Pak Imam. Bila ditanya kemana dia pergi, Pak Imam menjawab yang dia mempunyai urusan bersama keluarga. Dia berbuka dan bersahur di surau, solat jemaah di surau, solat terawikh di surau, bertadarus di surau dan mendengar tazkirah di surau. Isterinya tiada bantahan malah menurutinya kemana sahaja dia pergi. Sekali lagi Pak Imam pelik. Jarang juga isterinya menurutinya sepanjang waktu. Kadangkala tidak bersahur di surau malah jarang berbuka di rumah. Biasanya sekadar menemani anak-anak. Biarlah, fikir Pak Imam. Mungkin kerana anak-anak sudah besar, isterinya itu merasa sunyi dan mahu beramal ibadat lebih kepada Allah.


Rupa-rupanya permintaan isterinya supaya Pak Imam berbuka puasa dirumah, solat jemaah dirumah, berterawikh jemaah dirumah dan memberi tazkirah dirumah adalah permintaan terakhir isterinya. Belum pun sempat Pak Imam bertakbir Aidilfitri di suaru, anak bongsunya terkocoh-kocoh menghampirinya.. Memang Pak Imam awal ke surau hari ini, dan isterinya bakal menuruti kemudian bersama anak-anak dan orang perempuan seusianya.


Tetapi ada sebuah kereta lain yang turut menuruti mereka, dan kereta itu menyebabkan isteri Pak Imam terbaring berlumuran darah di tepi jalan. Segera Pak Imam meninggalkan jemaah yang sedang bersiap untuk bertakbir, berlarian menuju ke jalan. Alangkah terkejutnya dia bila melihat isterinya terbujur kaku bersama telekung yang sudah siap dipakainya.


Patutlah pagi tadi isterinya beria-ia memohon ampun dan maaf daripadanya, meminta agar dihalalkan segala makan minumnya sejak dari mereka berkahwin,segala perbuatan dan tutur katanya yang menyinggung Pak Imam serta mana-mana permintaannya yang melampau.


Pak Imam mamangku jenazah isterinya dan pada masa yang sama takbir Aidilfitri kedengaran. Dia sedih namun tiada airmata yang keluar, kerana dia tahu, isterinya pergi dalam keadaan yang suci dan bersih. Dan barulah Pak Imam tahu mengapa Ramadan yang lalu isterinya mahu supaya dia berbuka puasa dirumah, solat jemaah dirumah, berterawikh jemaah dirumah dan memberi tazkirah di rumah. Itu adalah permintaan terakhir isterinya.


* Cerpen ini tersiar di majalah Tunas Cipta, November 2006

OGG ZAMAN RASULULLAH

TIDAK lama selepas Rasulullah s.a.w menyeru teman-teman se-Usrahnya (Sabiqul Awwalin) melaksanakan dakwah Islamiyyah secara terbuka, aktiviti dakwah Islamiyyah telah menggamit perhatian masyarakat musyrikin Makkah. (15:94, 26:214-215,15:89,111:1)

Mereka hairan, bagaimana seorang anak muda bergelar al-Amin ini boleh membina generasi tarbawi yang hebat – Sabiqul Awwalin?

Pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w terdiri oleh golongan hamba, orang miskin dan mustad’afin, golongan berniaga sampailah hartawan-bangsawan.

Namun, mereka ini ditarbiyyah – (1)Ilmu (kefahaman); (2)sifat (sabar dan ikhtiyar), dan (3)iltizam (dakwah Islamiyyah) hatta mereka sangat yakin dengan janji-janji Allah.

Begitulah yang dapat dilihat pada batang tubuh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.ahum; terutama menjelang musim Haji di Makkah.

Ini kerana walaupun pada zaman Jahillyah, Makkah masih menerima kunjungan pada pengunjung Haji sebagai meneruskan syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s (syariat ini telah terpesong secara akidah dan syariah).

Musim Haji tersebut sudah tentu dinanti-nantikan oleh Rasulullah s.a.w. untuk melancarkan OGG (maksud: dakwah Islamiyyah).

Kemasukan freshes (rujuk: pengunjung Haji) ke Makkah perlu didekati (didakwah) agar mereka ini kembali hidup dalam acuan agama Allah.

Melihat inisiatif Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.ahum tersebut, mendorong gangster-gangster Makkah melancarkan fitnah, kekerasan fizikal hatta ancaman ke atas batang tubuh Rasulullah s.a.w dan Sabiqul Awwalin yang sabar serta istiqamah mendukung dakwah Islamiyyah.

Al-Walid bin al-Mughirah telah mengumpulkan para pemimpin pro Asobiyyah (maksud: mempertahankan hak kaumnya/pihaknya walaupun terpaksa menzalimi pihak lain) yang anti perjuangan dakwah Islamiyyah oleh Rasulullah s.a.w untuk menyekat dominasi dakwah Islamiyyah.

[Rujuk Abdul Hadi Awang (Tn. Guru) (2001) (Cet.5), Fiqh Harakah dari Sirah Nabawiyyah (jil.1), hh. 116-117]

“Kamu hendaklah bersepakat, jangan bertelingkah dan jangan berlainan pendapat sehingga bercanggah sesama sendiri dalam memperkatakan tentang Muhammad,” aluan oleh al-Walid.

Salah seorang pemimpin pro Asobiyyah mulai bersuara, “Beritahulah kepada kami pendapat kamu terlebih dahulu.

Al-Walid berpandangan bahawa kepemimpinan yang hadir patut terlebih dahulu memberi pandangan supaya beliau dapat mendengar dan menimbang cadangan-cadangan tersebut.

“Kita katakan dia (Nabi Muhammad s.a.w) ini ahli nujum??!!”

Al-Walid bersuara, “Tidak munasabah. Demi Allah tidak sama sekali (masyarakat akan percaya). Kita semua (sebelum ini) pernah lihat ahli nujum. Dia bukannya bermentera atau bersajak seperti ahli nujum.”

“Kita katakan (fitnah) dia orang gila??!!” pemimpin lain pula mengutarakan pendangan.

Al-Walid sekali lagi berhujah, “Tidak! Dia bukannya orang gila; kerana kita mengenali sifat orang gila sedangkan dia tidak meracau dan meronta-ronta seperti orang gila.”

“Bagaimana pula jika kita menuduhnya sebagai penyair??!!”

Al-Walid sekali lagi menyatakan pertimbangannya, “Tidak! Kerana dia bukannya penyair kerana kita semua (telahpun) ketahui bagaimana ucapan penyair-penyair. Bagaimanakah tuduhan ini boleh berkesan menghalang perjuangannya. Jelas dia (pasti tidak dianggap) bukan penyair!”

“Kita katakan dia ini ahli sihir!!??”

“Tidak! dia bukan ahli sihir kerana kita semua pernah melihat ahli sihir dan sihiran mereka, tiupan, dan simpulan telah dilakukan oleh mereka; sedangkan Muhammad tidak (pernah) melakukan (perbuatan) sedemikian,” rasional al-Walid.

Al-Walid mulai mengerut dahi dan matanya tajam merenung lalu bersuara.

“Sesungguhnya demi Allah, kata-katanya sungguh indah dan menarik. Segala tuduhan yang kamu sebut itu tidak tepat, tetapi pendapat yang paling tepat (boleh diterima) ialah kita katakan dia itu ahli sihir; kerana kesan ucapannya seperti sihir; Kerana ajarannya memecah-belah anak dan ayah, suadara-mara, suami-isteri (hatta) seseorang dengan keluarganya (masyarakat).

Semua pemimpin bersetuju dan bersurai. Mereka sedia melakukan apa sahaja – propaganda, ancam, bertindak kasar dll demi menghalang OGG (dakwah Islamiyyah) Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a.hum yang mendukung perjuangannya.

Ketika Rasulullah dan para Sahabat r.ahum mendekati freshes (pengunjung Haji), gangster Makkah menghalang dakwah Rasulullah s.a.w tanpa adab dan segan-silu. (74:11-16)

Abu Jahal laknatuLlah ‘alaih umpanya, tanpa segan silu mencemuh Rasulullah s.a.w.

“Jangan kamu mengikuti Dia (Nabi Muhammad s.a.w) kerana dia itu menyeleweng dari agama dan pembohong.”

Cuba cermati riwayat Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a sebagaimana di bawah:

…ketika Nabi Muhammad s.a.w bersolat di Kaabah, ‘Aqabah bin Abi Mu’it datang (lalu) mencekik Rasulullah s.a.w dengan bajunya (riwayat lain: dengan tali). Kemudian datang Abu Bakar (as-Siddiq) memegang pundaknya (‘Aqabah bin Abi Mu’it) sambil menolaknya daripada Rasulullah s.a.w dan (lalu) berkata berkata: mengapa Engkau hendak membunuh manusia yang mengaku dan mengucap ‘Tuhanku ialah Allah s.w.t’…”

Cuba cermati juga riwayat Abdullah bin ‘Umar r.a sebagaimana di bawah:

…Ketika Nabi (Muhammad s.a.w) sedang sujud bersolat di tengah-tengah puak Qurasy, datang ‘Aqabah bin Abi Mu’it membawa najis sembelihan (lalu) melempar ke atas belakag Rasulullah s.a.w; menyebabkan Rasulullah s.a.w tidak mengangkat kepalanya dari sujud sehingga datang Puterinya Fatimah r.a.ha membuang najis-najis tersebut sambil bertanya kepada Ali karramaLlahuwajhah: Siapakah yang melakukan sedemikian (kepada Rasululllah s.a.w)?”

OGG pada waktu tersebut bukan sahaja menyaksikan Rasulullah s.a.w sahaja yang dianugerahkan ujian hebat daripada Allah s.w.t yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, malah teman-teman seUrah (Sabiqul Awwalin) yang ditarbiyyah oleh Rasulullah s.a.w juga berdepan pelbagai fitnah, layanan kasar hatta ancaman.

Cuba cermati Hadith Bukhari yang diriwayatkan oleh Khabab bin Al-‘Arat r.a sebagaimana di bawah:

Aku datang menemui Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w sedang meletakkan kepalanya berbaring berbantalkan pakaiannya di bawah lindungan Ka’bah. Pada waktu itu, kami sedang mengalami penyiksaan yang sangat hebat. Lantas aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah, mengapa tidak Tuan berdoa kepada Allah untuk kita semua? Baginda Rasulullah s.a.w bangun dan duduk dengan muka yang merah lalu berkata: Sesungguhnya mereka yang terdahulu daripada kamu pernah diganyang dengan penyakar-penyakar besi hingga ke tulang dan urat sadar, tetapi sebutir bijirin pun mereka tidak berganjak dan ada pula dalam kalangan mereka dibelah kepala dengan gergaji namun demikian mereka tetap juga tidak berganjak dari pendirian mereka. Biarlah Tuhan sempurna perkara ini (agama Islam) sehingga manusia berjalan dari San’a’ ke Hadratulmaut tidak akan gentar dan takut sesuatu pun kecuali Allah s.w.t…”

Lihat Tarbiyyah Rasulullah ke atas para Sahabat r.a.hum melalui OGG pada musim Haji tersebut. Lihat hasil (1)kefahaman yang sejahtera telah membentu (2)sifat berani berdepan dalam melaksanakan dakwah hatta menyebarakkan (3)sifat iltizam dan keyakinan dengan pertolongan dan janji-janji Allah.

SubhanaLlah! OGG tahun ke-11 Nubuwwah menyaksikan 6 orang Khazraj telah menerima dakwah Islamiyyah dan tarbiyyah daripada Rasulullah s.a.w. Mereka yang mulia itu adalah:

(1)As’ad bin Zurarah;

(2)’Auf bin Harith bin Rifa’ah bin ‘Afra’;

(3)Rafi’ bin Malik bin ‘Ajlan;

(4)Qhutbah bin ‘Amir bin Hudhaibah;

(5)’Uqbah bin ‘Amir bin Nabi; dan

(6)Jabir bin Abdullah bin Ri’ab

SubhanaLlah! OGG tahun ke-12 Nubuwwah menyaksikan sesuatu yang lebih penting iaitu berlangsungnya Bai’ah al-‘Aqabah al-Uula. Seramai 12 orang telah bersedia untuk ditarbiyyah dan sanggup menjalankan dakwah Islamiyyah bersama-sama Rasulullah s.a.w. Mereka yang mulia itu adalah:

(1)Mu’adz bin al-Harith;

(2)Zakuan bin Abdul Qis;

(3)’Ubadah bin as-Samit;

(4)Yazid bin Tha’labah;

(5)al-Abbas bin ‘Ubadah Nadlah;

(6)Abu al-Haitham bin al-Taihan (Aus); dan

(7)’Uwaim bin Sa’idah (Aus).

Kecuali Jabir bin Abdullah bin Ri’ab, kesemua mereka yang pernah menemui Rasulullah s.a.w dalam OGG tahun ke-11 Nubuwwah.

Rasulullah s.a.w sendiri telah mengutuskan Naqib al-Nuqaba’, Mus’ab bin ‘Umair telah diutuskan pulang ke Yatrib bersama-sama 12 freshes (maksud: Sabiqul Awwalin) tersebut untuk melaksanakan usrah dan tarbiyyah di bumi bertuah Yatrib.

SubhanaLlah! OGG tahun ke-13 Nubuwwah menyaksikan Bai’ah al-Aqabah ath-Thani. Kali ini, angka tersebut bertambah ramai.

Malah Rasulullah s.a.w sendiri telah melantik 12 orang dalam kalangan para Sahabat r.ahum yang datang dan bertemu Rasulullah s.a.w tahun tersebut. Mereka yang dilantik sebagai Naqib Usrah adalah:

[Dalam kalangan Khazraj]

(1)Sa’ad bin Rabi’

(2)’Abdullah bin Rawahah

(3)Rafi’ bin Malik bin al-‘Ajlan

(4)As’ad bin Zirarah bin ‘Adas

(5)al-Barra’ bin Ma’rur bin Sakhr

(6)’Abdullah bin ‘Amru bin Haram

(7)’Ubadah bin al-Samit bin Qais

(8)Sa’ad bin ‘Ubadah bin Dalim

(9)al-Munzir bin ‘Amru bin Khanis

[Dalam kalangan Aus]

(10)Usaid bin Hudair bin Simak

(11)Sa’ad bin Khaithamah bin al-Harith

(12)Rifa’ah bin Abdul-Munzir bin Zubir

OGG akhirnya membawa pada ketumbukan dakwah Islamiyyah yang lebih hebat di kemudian hari sehingga terdirinya Madinah al-Munawwarah yang sejahtera dan menjunjung pengabdian kepada Allah s.w.t.

Tidak perlulah kita berkecil hati andai kita dicela, dihina, dicerca dan difitnah kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.ahum juga telah menerima sedemikian rupa.

Banner-banner dakwah Islamiyyah kita baru dicuri dan dimusnahkan; sedangkan batang tubuh Rasulullah s.a.w telah dikasari hatta dilukai.

Kepemimpinan kita baru dicemuh dan difitnah oleh bloggers tertentu dalam OGG kampus; sedangkan Rasulullah s.a.w setiap detik diburu dan diancam kerana mengatakan Rabbuna RabbunaLlah [maksud: Tuhan kami (adalah) Allah].

Marilah kita berdoa dan bertawakal kepada Allah setalah kita bertungkus-lumus merencana dan melancarkan dakwah ilaLLah di kampus. Sesungguhnya, jalan kita ini sepatutnya digerakkan atas pendidikan kefahaman (maksud: Usrah dan tarbiyyah), bukan lantunan perasaan dan darah ‘muda’ mahasiswa semata-mata.

Ayuh GMI, jadikan OGG kali ini pemangkin dakwah Islamiyyah di kampus selepas ini.

Biar spirit OGG kali ini tidak terhenti setakat menjemput freshes dan senior sesi kemasukan kali ini sahaja, tetapi terus subur dan berdenyut dalam pembuluh darah setiap aktivis GMI.

Selamat merencana dan melaksanakan dakwah Islamiyyah di kampus dan dalam lapangan ummah. Allah s.w.t akan memuliakan hamba-hambanya selagi mana hamba-hambanya terus meneladani perjuangan hidup kekasih-Nya (Nabi Muhammad s.a.w). Pendidikan Asas Perubahan! -END

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...